Monday, December 22, 2008

Kesihatan Ibarat Kekayaan.

Oleh DATUK DR. MUSA MOHD NORDIN
(Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi)

"Pencegahan penyakit sejak awal lagi boleh mengurangkan kos perbelanjaan perubatan"

Pelaburan dalam kesihatan anda adalah satu keputusan kewangan yang penting dan bijak.

RAMAI yang sibuk membincangkan tentang krisis ekonomi semasa dan bagaimana kesan kegawatan akan dirasai pada tahun-tahun mendatang.

Di seluruh dunia, syarikat perniagaan mengalami kesan kesempitan kredit manakala individu dan keluarga mereka pula mengkaji semula keutamaan kewangan masing-masing menyebabkan perbelanjaan isi rumah dikurangkan secara ketara, termasuk penjagaan kesihatan.

Dalam keadaan sukar seperti ini, perbelanjaan perlu diuruskan dengan teliti. Tetapi usaha menjimatkan kos kadangkala turut menjejaskan perbelanjaan kesihatan peribadi dan juga keluarga.

Antaranya mengurangkan perbelanjaan mencegah penyakit, membuat keputusan membeli ubat sendiri dan melengahkan keputusan berjumpa doktor apabila sakit.

Masalah kesihatan pesakit lazimnya dikesan pada peringkat lewat atau akhir, menyebabkan pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital serta mendapatkan rawatan perubatan yang berpanjangan dan serta-merta atau menjalani pembedahan besar.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Friend Provident and the Blood Pressure Association, Britain, kajian mendapati, bahawa 56 peratus daripada responden membeli makanan lebih murah sebagai langkah menjimatkan kos, 15 peratus telah mengurangkan perbelanjaan bagi buah-buahan dan sayur-sayuran segar, dan 21 peratus mengurangkan penggunaan gim akibat kegawatan ekonomi.

Tambahan lagi, 27 peratus daripada mereka semakin bimbang, 19 peratus kurang tidur, dan 15 peratus bekerja lebih panjang masa akibat tekanan ekonomi.

Satu lagi tinjauan oleh D2Hawkeye Inc., sebuah firma analisis data perubatan bagi pihak Wall Street Journal menunjukkan bahawa kemelesetan ekonomi telah menyebabkan sesetengah rakyat Amerika membatalkan polisi insurans mereka, dengan harapan mereka dapat menjimatkan premium mingguan untuk perbelanjaan seperti yuran sekolah anak-anak .

Menurut Indeks Keutamaan Membeli Pengguna MasterCard Worldwide yang dilaksanakan buat pertama kali, 70 peratus daripada pengguna rantau Asia Pasifik mengurangkan perbelanjaan budi bicara untuk tempoh 12 bulan akan datang. Makan minum dan hiburan (59 peratus) mendahului senarai, diikuti oleh fesyen dan aksesori (46 peratus), pendidikan kanak-kanak (44 peratus), dan pelancongan peribadi (42 peratus).

Hasil kajian juga mendapati bahawa 60 peratus daripada pengguna di rantau ini menghabiskan lebih 10 peratus daripada pendapatan tahunan peribadi mereka ke atas barangan budi bicara, dengan lebih 11 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka sebelum ini membelanjakan lebih 40 peratus.

Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa ramai yang membuat perubahan ketara terhadap gaya hidup dan amalan hidup akibat kemelesetan ekonomi.

Walaupun tindakan orang ramai menguruskan wang lebih bijak memastikan mereka tidak terlalu boros berbelanja, perkara yang dikhuatiri ialah dalam usaha menguruskan kewangan peribadi dengan lebih baik, masing-masing mengabaikan perkara asas mengenai kesihatan diri dan keluarga mereka seperti pemeriksaan perubatan berkala, pemvaksinan, mengambil makanan sihat dan meneruskan senaman.

Kita sepatutnya menjadikan keadaan ekonomi yang gawat sebagai dorongan untuk membuat perubahan positif kepada amalan gaya hidup tidak sihat. Antaranya merokok, minum arak makan terlalu banyak makanan tidak sihat dan berusaha memupuk tabiat yang memberi sumbangan positif kepada kesihatan.

Jaga kesihatan menerusi pencegahan

Pemvaksinan rutin, pemeriksaan berkala semasa anak membesar dan pemeriksaan perubatan dari semasa ke semasa untuk orang dewasa ialah contoh khidmat penjagaan kesihatan penting yang membantu mencegah dan mengesan penyakit pada peringkat awal.

Walaupun kita tidak dapat mengelakkan sepenuhnya serangan penyakit, dengan kemujaraban ubat moden, banyak penyakit boleh diubati atau gejala dan kerumitannya boleh dikurangkan jika penyakit dikesan pada peringkat awal.

Dengan mencegah kesakitan dan kemudaratan, anda berasa lebih sihat dan gembira, seterusnya meningkatkan semangat dan tenaga anda untuk mengecap nikmat hidup.

"Masalah kesihatan penyakit lazimnya dikesan pada peringkat akhir "

Penjagaan kesihatan menerusi pencegahan ialah satu tindakan proaktif. Ia menggalakkan amalan gaya hidup sihat yang membawa kepada usia lebih panjang dan penyakit yang berkurangan.

Dalam jangka panjang, gaya hidup yang sihat boleh membantu anda mengelakkan masalah kewangan.

Pelaburan dalam kesihatan anda adalah satu keputusan kewangan yang penting dan bijak. Seseorang boleh membelanjakan jumlah yang kecil setiap tahun untuk menjaga kesihatan ataupun menghabiskan jauh lebih banyak wang untuk pulih daripada penyakit yang boleh dicegah dan kerumitannya.

Bandingkan perbelanjaan kecil menemui doktor dari masa ke semasa dengan kos pembedahan besar, kemoterapi, atau rawatan hospital jangka panjang.

Perbelanjaan besar ini akan melenyapkan seluruh tabungan individu; wang yang sepatutnya digunakan untuk hidup selesa dan mendapatkan perlindungan pada zaman persaraan. Ini sesuatu yang amat malang kerana kebanyakan penyakit ini boleh dicegah.

Penyakit gaya hidup amat berleluasa dan merupakan faktor yang amat membebankan sistem penjagaan kesihatan kita. Individu yang sihat dan keluarga yang mengamalkan gaya hidup sihat boleh meringankan beban berat yang dipikul oleh sektor perkhidmatan kesihatan kita. Ini akan menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih berkaitan, berkesan dan termampu.

Bagaimanakah cara untuk membuat pelaburan penting ini? Tumpuan kepada enam perkara berikut:
*Pemeriksaan perubatan dan kesihatan secara tetap.

*Pastikan semua pemvaksinan rutin dibuat mengikut jadual.

*Tidak menghisap rokok dan minum alkohol.

*Makan makanan seimbang yang berkhasiat dan semula jadi.

*Bersenam secara kerap.

*Menguruskan tekanan dengan bijak.

"Kesihatan itu harta yang paling berharga." - Virgil




......